Monday, November 19, 2012

Pengenalan Pantun

Pantun
=> 2, 4, 6, 8, 10, 12 atau 14 baris dalam satu rangkap
=> Rima a, a, b, b
=> Baris 1 dan 2 ialah pembayang, baris 3 dan 4 ialah maksud

Pantun terdapat dalam pelbagai bentuk. Contohnya ada yang berbentuk nasihat, adat, agama, teka-teki, jenaka dan ada juga yang peribahasa.

Di samping itu, pantun juga mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pertumbuhan serta perkembangan puisi Melayu lama. Pantun merupakan jenis puisi Melayu lama yang tertua dan asli yang amat diminati. Ini terbukti, pantun digunakan secara meluas dalam kegiatan-kegiatan hidup harian dan seni budaya masyarakat Melayu lama. Contohnya dalam acara pemainan, hiburan, majlis keramaian, adat istiadat atau upacara.Justeru itu, pantun dari segi isi atau temanya terdapat beberapa bentuk. Antaranya dalam bentuk teka-teki, jenaka, kasih sayang, nasihat, budi, nasib, perantau, adat, kepahlawanan, peribahasa, kias ibarat dan agama. Meskipun begitu, penentuan bentuk-bentuk isi atau tema tersebut bukanlah mutlak. Ini kerana dalam setiap bentuk isi pantun itu, lazimnya terdapat juga isi atau persoalan lain. Penentuannya lebih dilihat pada isi yang menjadi latar dan dasar perkembangannya dengan isi atau persoalan lain yang berhubung.

Pantun yang isinya mengemukakan tentang nasihat, adat dan agama pada umumnya adalah mudah dikenali serta difahami. Pantun nasihat misalnya, lebih jelas bersifat mengajar atau memberi nasihat ke arah melakukan sesuatu yang baik dan meninggalkan yang buruk. Walaupun demikian, isi tentang adat danagama tidak kurang pula yang lebih serius serta mendalam persoalan isinya. Umpamanya, persoalan adat yang berkaitan dengan norma-norma adat, peraturan atau undang-undang dan persoalan agama yang berkaitan dengan Keesaan Allah dan balasan hari kemudian.

Pantun jenis peribahasa juga mudah dikenali. Ini kerana melalui penyampaian isinya menggunakan peribahasa-peribahasa yang begitu jelas bentuk serta susunannya. Bagi pantun kias dan ibarat pula sesuai dengan namanya maka setiap isi yang disampaikan atau dikemukakan itu adalah bersifat kiasan, ibarat atau perbandingan. Pernyataan isinya selalu ditemui dalam bentuk peribahasa tetapi gambaran pernyataannya lebih halus, luas dan mendalam. Pada pantun teka-tekiyang memerlukan jawapan adalah merupakan satu daripada alat untuk menggerakkan cara berfikir secara spontan dan membina kemahiran berfikir dengan tepat.

Pantun jenaka yang unsur kejenakaan atau kelucuannya terhasil daripada gambaran keanehan dan keganjilan perlakuan itu, terdapat unsur-unsur pengajaran, nasihat dan sindiran di dalamnya.

No comments:

Post a Comment